Jalur Gemilang
Berita :
98 Peratus Peserta U-BES Kekal Aktif Berniaga, Wujudkan 343 Peluang Pekerjaan
98 Peratus Peserta U-BES Kekal Aktif Berniaga, Wujudkan 343 Peluang Pekerjaan
Ahmad Zaeem Zainudin
8 jam yang lepas
128

KUALA TERENGGANU, 18 November - Seramai 195 daripada 200 peserta Program Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) masih meneruskan perniagaan. 

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, angka tersebut menunjukkan bahawa kadar kelangsungan perniagaan direkod sebanyak 98 peratus sejak program itu diperkenalkan pada 2019.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan pendekatan pembangunan usahawan secara tersusun melalui latihan, bimbingan dan pemantauan berterusan mampu memberikan impak positif.

"Program U-BES merupakan salah satu inisiatif penting Kerajaan Negeri dalam menjadikan bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya kepada golongan belia.

"Program ini bukan sahaja bertujuan melahirkan usahawan baharu, malah membentuk usahawan yang berupaya menjadi majikan, menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Selain mencatatkan kadar kelangsungan perniagaan yang tinggi, U-BES turut berjaya mewujudkan sebanyak 343 peluang pekerjaan dan menerima pengiktirafan ISO 9001:2015 pada 2023.

Sehubungan itu, Ariffin berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pelaksanaan program berkenaan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

“Kerjasama ini penting bagi berkongsi kepakaran, mengurangkan kos pelaksanaan, memperluas jaringan perniagaan dan memastikan program ini terus relevan dengan keperluan semasa,” jelas beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan