KUALA TERENGGANU, 18 November – Kerajaan digesa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah RM314 juta yang didakwa masih belum diserahkan kepada kerajaan sebelum mempertimbangkan sebarang pelantikan semula Zetrix AI Berhad.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Haji Ahmad Amzad @ Hashim berkata, tunggakan berkenaan membabitkan wang kutipan awam termasuk cukai jalan, lesen dan saman yang sepatutnya dipindahkan kepada kerajaan dalam tempoh satu hari bekerja.
Menurutnya, siasatan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada Zetrix AI, sebaliknya turut merangkumi keseluruhan rantaian pemantauan dan pengurusan JPJ serta Kementerian Pengangkutan.
“Kerajaan wajib menjelaskan mengapa tunggakan dibiarkan terkumpul dari 19 Mei hingga 30 September 2026 tanpa sekatan awal sedangkan wang kutipan sepatutnya dipindahkan dalam tempoh satu hari bekerja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ahmad Amzad menjelaskan, tindakan menggantung perkhidmatan hanya selepas 35 notis peringatan menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan sistem pemantauan kerajaan dalam memastikan kutipan hasil awam diserahkan mengikut tempoh ditetapkan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kelemahan pengurusan kutipan hasil JPJ bukan perkara baharu apabila Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 1 pernah merekodkan kelewatan penyerahan kutipan berjumlah RM38.94 juta melalui e-Khidmat.
Katanya, teguran audit berkenaan sepatutnya menjadi asas kepada penambahbaikan sistem supaya kelemahan sama tidak berulang pada skala lebih besar.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan kewajaran kerajaan mempertimbangkan pelantikan semula Zetrix AI sebelum keseluruhan tunggakan diselesaikan, khususnya apabila syarikat itu turut dilaporkan berdepan tekanan kewangan.
“RM314 juta bukan pinjaman perniagaan yang boleh dibayar secara ansuran, tetapi merupakan wang kutipan cukai jalan, lesen dan saman rakyat.
“Dalam keadaan ini, mengamanahkan semula kutipan wang awam kepada syarikat yang berdepan tekanan kewangan adalah satu risiko yang tidak wajar,” katanya.
Ahmad Amzad turut mempersoalkan cadangan bayaran RM100 juta terlebih dahulu dan baki RM214 juta dilunaskan dalam tempoh enam bulan yang dikaitkan dengan tindakan tuntutan serta prosiding mahkamah.
Beliau menegaskan penyelesaian tunggakan wang awam tidak seharusnya dijadikan bahan tawar-menawar bagi membolehkan syarikat memperoleh kontrak baharu.
Sehubungan itu, Ahmad Amzad mendesak kerajaan melaksanakan siasatan menyeluruh, mendedahkan hasil siasatan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang gagal menjalankan tanggungjawab.
Beliau juga mahu tindakan undang-undang diteruskan sehingga RM314 juta tunggakan dan RM29 juta penalti dilunaskan sepenuhnya serta menjadikan penyelesaian penuh tunggakan sebagai syarat wajib sebelum sebarang pelantikan semula dipertimbangkan.