Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan negeri memperkenalkan tiga inisiatif khas dalam membantu golongan belia dan beliawanis Terengganu yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha tersebut termasuk tabung pemulihan Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) berjumlah RM3.5 juta.
“Tabung ini berperanan membantu pemulihan peniaga termasuk usahawan belia yang terlibat dalam projek pembangunan kecil dan sederhana terkesan akibat pandemik, golongan tersebut adalah diantara sasaran kerajaan.
“Kedua, Bantuan Cakna Rakyat Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM9.7 juta, memfokuskan golongan b40 disertai belia dibawah kategori tersebut dengan pengagihan ‘One-off’ sebanyak RM200 untuk satu isi rumah (keluarga).
“Inisiatif ketiga adalah pengecualian bayaran lesen perniagaan kecil dan penjaja disamping penerusan program penangguhan dan diskaun diberi oleh pihak Yayasan Terengganu (YT),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.
Tambah beliau, peminjam tabung YT telah membuat keputusan bagi penangguhan dan diskaun pinjaman sejak tahun lepas, meringankan beban usahawan yang kebanyakan terdiri daripada golongan belia.
Mengulas lanjut berkenaan Pelan Literasi Kewangan, Wan Sukairi memaklumkan, inisiatif tersebut juga boleh dimanfaatkan oleh belia dan beliawanis untuk meluaskan lagi rangkuman pendidikan kewangan pada situasi mencabar tersebut.
“Selain itu, lapan program dibawah rangka latihan kemahiran dan peluang pekerjaan juga membuka pintu kepada golongan belia dan akan dilaksanakan segera jika keadaan mengizinkan.
“Program sebegini dibawah pengelolaan portfolio Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, namun kerjasama sentiasa diadakan merentasi portfolio kerana ia melibatkan inisiatif buat warga belia juga,” tambahnya.