Tiga Kali Berturut Menang Pertandingan Gerai Tema Kebangsaan
Gerai ayam gunting atau lebih dikenali gerai R&R Cheezy Chiken dan Raja Sotong meriah dengan dekorasi bertemakan jalur gemilang. |
Pemilik gerai Rohana Tahir, 50 berkata, beliau sudah banyak kali menyertai pertandingan gerai tercantik dan menang sebanyak tiga kali berturut-turut.
“Pada hari ini dengan bertemakan bulan kemerdekaan saya dan anak-anak menghiasi gerai dengan bendera jalur gemilang sebanyak 61 helai mengikut tahun kemerdekaan.
“Kos untuk menghias gerai sekaligus membuat baju dan apron dengan menggunakan bendera hanya mengeluarkan RM150 sahaja,” katanya.
R&R Cheezy Chiken mampu meraih jualan hampir RM3,000, kelmarin (29 Ogos), dengan pelbagai jenis makanan seperti ayam gunting, sosej, sotong dan ada juga menu pakej dengan harga murah iaitu RM10.
Rohana berkata, setiap pengunjung yang membeli pasti ada yang memberi respon dan pujian terhadap gerai beliau termasuk pakaian patriotik.
“Jualan hari ini tak menang tangan kami lima beranak kerana jualan yang sangat murah daripada harga biasa sebelum ini.
“Anak perempuan tunggal saya Syarifah Farah Nur Elyana Syed Abdul Rashid 23, turut menyertai pertandingan pakaian kreatif dengan menggunakan jalur gemilang dan menang tempat pertama,” katanya.