Kerajaan negeri berusaha mendidik masyarakat mencintai al-Quran. Foto - Solahuddin Al-Idrus |
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri berkata, selain sebagai pendekatan dakwah, program tersebut dapat membantu meningkatkan cara tarannum di samping membantu penguasaan tajwid dalam masyarakat.
"Sebagai pihak yang memerintah, adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai pemimpin untuk mendidik masyarakat agar mencintai al-Quran.
"Kerajaan sangat komited memupuk minat rakyat beragama Islam dalam membudayakan al-Quran sebagai rujukan utama kehidupan," katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.
Program berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini melibatkan 16 peserta dari seluruh daerah.
Dr. Samsuri dalam ucapannya turut memaklumkan, kerajaan negeri melalui Bajet 2019 yang dibentangkan November lalu meneruskan program Skim Hafaz Al-Quran bagi peringkat sekolah dan terbuka dewasa dalam usaha memupuk minat masyarakat kepada kitab suci itu.
"Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM5 juta dalam program Mus'ab Umair untuk mendidik masyarakat tentang kefahaman al-Quran.
"Sebanyak RM3 juta juga dilaburkan dalam Program Pengajian Braille untuk membantu orang kurang upaya (OKU) mengenali al-Quran," katanya.