Muaz, Hajjah Halimah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu
Tonton Bola Gaya Mewah, Tapi Murah
KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Budaya menonton perlawanan bola sepak di warung-warung adalah perkara yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat tempatan.
Namun, tidak semua kaki bola berpeluang menikmati kemeriahan dan kehangatan suasana tersebut, lebih-lebih lagi bagi yang telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang masih kecil.
Sebagai penyelesaiannya, Permai Hotel melalui restorannya, Cahaya Restaurant mengetengahkan budaya berkenaan dengan konsep yang lebih mesra dengan golongan itu.
Penolong Pengurus Cahaya Restaurant, Jaslina Jusoh memaklumkan, pakej siaran skrin gergasi itu telah dimulakan sejak kejohanan Piala Dunia tahun lalu.
"Kita buat pakej ini untuk menawarkan suasana ekslusif untuk pengunjung yang menonton dan memberi lebih keselesaan terutama bagi peminat bola sepak yang berkeluarga. Ini kerana, kita menyediakan ruang makan lebih selesa, luas dan berhawa dingin.
"Kami di Permai mahu merubah persepsi masyarakat melalui tawaran pakej set makanan serendah RM15 pelbagai pilihan seperti set martabak, set keropok lekor dan kentang goreng serta cucur udang yang dihidang bersama kopi atau teh tarik.
"Kita harap lebih ramai akan datang ke Permai Hotel untuk menikmati perlawanan bola sepak dengan suasana lebih mesra keluarga dan berbaloi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas siaran skrin gergasi Piala Sumbangsih antara Terengganu FC menentang Johor DT, baru-baru ini.
Jaslina menambah, Permai Hotel akan mengadakan lebih banyak siaran langsung skrin gergasi untuk perlawanan terpilih terutama bagi pasukan Terengganu FC selepas ini.
Dalam pada itu, Mohd Fadhil Ali Afendi, 34, salah seorang pengunjung yang hadir bersama rakannya, Ahmad Safian Mamat,39 dan Ahmad Firdaus Mamat, 35, mengakui hal tersebut.
"Di sini, kita boleh menikmati makanan hotel, gaya mewah tetapi dengan kemeriahan yang sama.
"Tempat ini lagi sesuai jika kita hendak bawa anak-anak kecil dengan keadaan selesanya untuk merasai suasana
"Bagi kita sebagai ibu bapa pula, menonton di sini lebih kuranglah kerisauannya berbanding di warung dan gerai-gerai yang hampir dengan jalan, orang ramai dan agak sesak," katanya.
Tambah Firdaus pula, harga yang ditawarkan agak berpatutan dengan pakej dan perkhidmatan diberikan.
"Harganya tidak terlalu mahal, padan dengan suasana dan keselesaannya serta lebih selamat untuk anak-anak bersama. Tambahan pula, bebas dari asap rokok," katanya.
Bagi penyokong bola sepak yang berminat menonton siaran langsung skrin gergasi di Permai Hotel, boleh mengikuti laman Facebook dan Instagram Permai Hotel Kuala Terengganu untuk mendapatkan makluman berkenaan siaran perlawanan-perlawanan terpilih.
Selain itu, pada hari-hari biasa Permai Hotel turut menawarkan pakej buffet 'supper' pada harga RM15 (kanak-kanak) dan RM25 (dewasa) diiringi persembahan pemuzik jalanan (buskers).