KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Tour Gateh D’Tranung (TGDT 25) bukan sekadar perlumbaan basikal, ia adalah gelanggang membakar semangat, tempat anak muda menanam cita-cita, dan pentas melahirkan wira baharu dalam dunia sukan negara.
Kejohanan yang memasuki edisi keempat itu disifatkan sebagai platform terbaik buat pelumba muda menimba pengalaman, di samping menyemai semangat kesukanan dan cinta terhadap negeri. Lebih membanggakan, acara ini melibatkan penyertaan masyarakat dari semua peringkat, penonton, pengayuh, peniaga dan sukarelawan, yang sama-sama menghidupkan denyut nadi perlumbaan di bumi Terengganu.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, keterlibatan rakyat dalam TGDT membuka ruang kepada pembentukan generasi pelumba baharu yang mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia.
"Keterlibatan masyarakat sama ada secara langsung atau tidak langsung sebenarnya mampu melahirkan wira negara di masa hadapan dalam acara ini," katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian dan Memperkenalkan Pasukan Serta Penaja TGDT 25 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, minat terhadap sukan berbasikal dalam kalangan anak muda Terengganu tidak hadir secara tiba-tiba, sebaliknya dipupuk melalui pengalaman menyaksikan kehebatan pelumba profesional beraksi sejak kecil.
"Lihatlah nama-nama atlet lumba basikal negara yang berasal dari negeri Terengganu, minat mereka mula dipupuk apabila menjadi penonton dalam acara ini secara langsung di depan mata sejak kecil lagi," ujarnya.
Majlis perasmian TGDT 25 baru-baru ini turut diserikan dengan kehadiran ikon sukan berbasikal negara, Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara Keirin. Beliau mengetuai perarakan masuk piala TGDT 25 ke arena majlis, simbol semangat juang yang membara dalam diri anak jati Terengganu.
"Pada hari ini kita bertuah dengan kehadiran Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang, beliau adalah contoh hasil pelumba yang lahir dari negeri kita," kata Dato’ Nara.
Beliau turut menyifatkan kehadiran jaguh berbasikal dunia itu sebagai simbol kejayaan dan inspirasi kepada generasi muda.
"Beliau juga akan mengetuai perarakan masuk piala TGDT 25 ke arena majlis pada hari ini," katanya lagi.
Turut mengiringi 'The Pocket Rocketman' ialah legenda-legenda berbasikal negeri seperti Anuar Manan, Zamri Salleh, dan Syed Mohd Husaini Syed Mazlan serta nama-nama yang pernah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dan menjadi bukti bahawa bakat besar mampu lahir dari bumi Terengganu.