KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan Terengganu memperkukuh pendidikan melalui transformasi digital, termasuk penyediaan iPad, makmal komputer dan sistem sokongan pembelajaran moden, sejajar dengan aspirasi membangunkan pelajar berdaya saing.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, digitalisasi pendidikan bukan sekadar reaksi terhadap cabaran semasa, tetapi persiapan jangka panjang.
“Ini zaman anak-anak kita. Mereka perlu dibentuk mengikut keperluan masa depan. Pembelajaran digital adalah realiti dan kita mesti menyediakan mereka untuk dunia yang serba pantas,” beliau berkata demikian ketika membuat pergulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman.
Beliau menambah, sekolah-sekolah agama bawah kelolaan kerajaan negeri turut menerima perkapita, penambahbaikan kelas dan sistem pengajaran supaya pencapaian pelajar meningkat.
“Kita tidak mahu hanya melihat angka. Kita mahu pelajar benar-benar memahami asas agama, akhlak dan adab. Pendidikan Islam mesti kekal menjadi tunjang walaupun dunia berubah,” ujarnya.
Kerajaan negeri turut memperkukuh prestasi UPKK dan KAFA dengan penstrukturan semula sistem, bagi memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berakhlak mulia.
“Generasi muda Terengganu mesti lahir sebagai insan berilmu, berakhlak dan berdaya saing, insya-Allah,” katanya lagi.