Trek Semula Jadi Bukit Jejulong Tarik Minat Peminat 4X4

MARANG, 28 Januari – Bukit Jejulong kini menjadi perhatian peminat sukan lasak, khususnya penggemar aktiviti 4X4, kerana trek semula jadinya yang mencabar dan unik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, lokasi itu dilihat berpotensi besar untuk dijadikan pusat aktiviti off-road di negeri Terengganu.  

Katanya, penganjuran Cabaran 4X4 Kampong Kiter membuktikan lokasi ini mampu menarik minat ramai peminat sukan lasak dari seluruh negara.  

"Selain menjadi lokasi aktiviti lasak, ia juga membantu memperkenalkan keindahan alam semula jadi negeri kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran 4X4 Kampong Kiter bertempat di Bukit Jejulong, semalam.

Turut hadir, Timbalannya, Sulaiman Sulong, serta peserta-peserta dari pelbagai negeri.  

Pada pertandingan tersebut, Farok Team Cass telah memenangi tempat pertama, diikuti dengan Team Mat Min dan Team Shah Ronggok.

Tambah Razali, aktiviti tersebut bukan sahaja mempromosikan pelancongan sukan tetapi juga memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menjana pendapatan.  

“Pelancongan sukan seperti ini bukan sahaja menarik pengunjung, tetapi juga membantu ekonomi penduduk setempat melalui penyediaan makanan, penginapan dan perkhidmatan lain,” ujarnya. 

Sementara itu, salah seorang peserta, Mohd Amirul Hazmi, berkata trek di Bukit Jejulong sangat mencabar dan menyeronokkan.  

“Ini kali pertama saya menyertai cabaran di sini, dan saya sangat kagum dengan keindahan dan keadaan trek yang asli. 

"Saya pasti akan kembali untuk mencuba lagi,” ujarnya.

 


Tag: