Tujuh Beradik Yatim Piatu Tumpang Kasih Ibu, Bapa Saudara

DUNGUN, 30 Disember- "Allah gantikan kesunyian kami berdua tanpa zuriat dengan kehadiran tujuh beradik yatim piatu sebagai ganti,"ujar Anazul Ami Idris, 42.

Beliau yang merupakan bapa saudara kepada mereka bertujuh menganggap hasratnya dan isteri Mariani Othman, 42 untuk bergelar seorang ayah dan ibu kini telah tertunai.

"Kami berdua sangat bersyukur kerana dapat menjadi 'ibu bapa' kepada mereka tujuh beradik dan berusaha memberikan kasih sayang terbaik kepada anak-anak yang kehilangan kedua orang tua dalam kemalangan jalan raya. 

"Alhamdulillah, sejak kami menjaga mereka dua tahun lepas, rezeki sentiasa ada untuk menampung perbelanjaan bulanan dan kami berazam mahu memastikan mereka mendapat pendidikan terbaik demi masa depan yang cerah untuk mereka," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) sempena program Sentuhan Kasih KAWAT di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Pada pertemuan itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) turut memberi sumbangan bakul makanan kepada keluarga tersebut yang kini menetap di Kampung Pasir Raja di sini.

Anazul Ami berkata meskipun kemalangan tragis dua tahun lepas meragut nyawa adik perempuannya, Norhapisah Idris, 34 dan suami, Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, kehadiran anak-anak saudara mereka berjaya mengubat kerinduan tersebut.

Tujuh beradik itu ialah Muhammad Danial, 14; Muhammad Danish Irfan, 13; Muhammad Darwish Iqbal, 11; Muhammad Dhiyauddin Aiman, 10; Muhammad Daim Amin, 8; Muhammad Dhiya Arsyad, 7 dan Dayyinah Athirah, 5.

Menurut Anazul Ami, beliau menerima sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM800 setiap bulan.

Manakala kesemua tujuh beradik itu masing-masing menerima sumbangan RM200 dari Pertubuhan Kebajikan Sosial dan RM200 lagi dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia setiap bulan.

Sementara itu, Timbalan Presiden KAWAT Mohd Ishak Abdillah Ngah berkata program itu adalah sebahagian usaha pengamal media di Terengganu kepada masyarakat kerana sebagai golongan yang sentiasa berada di lapangan, media juga mahu memainkan peranan untuk membantu golongan yang memerlukan.