Tukun Terengganu Benteng Lautan Masa Hadapan

KUALA TERENGGANU, 14 April - Terengganu kini muncul sebagai peneraju dalam usaha kelestarian marin apabila lebih 1,600 unit tukun tiruan telah dilabuhkan sepanjang 245 kilometer jajaran Pantai Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, berkata pelabuhan tukun tiruan dari Kemaman hingga ke Besut itu merupakan sebahagian daripada pelan besar kerajaan negeri untuk melindungi dan memperkaya sumber perikanan di perairan Terengganu.

Pelan yang dikenali sebagai ‘Garisan Tukun’ ini menyasarkan satu kelompok tukun bagi setiap satu kilometer pantai, menjadikan projek ini antara yang terbesar di Malaysia dari segi pemuliharaan laut melalui teknologi tukun tiruan.

Menurut beliau, ada dua jenis tukun yang telah dikategorikan dalam usaha pelabuhan itu di mana setiap jenis tukun mempunyai peranannya yang tersendiri.

"Tukun tiruan ada dua kategori iaitu tukun rekreasi dan tukun konservasi.

"Tukun konservasi yang dilabuhkan dalam kawasan Taman Laut dan tidak membenarkan sebarang aktiviti penangkapan, serta tukun rekreasi yang terbuka kepada pemancing dan nelayan rekreasi di luar kawasan Taman Laut.

“Rasionalnya, kita perlu ada suatu kawasan yang digazetkan sebagai zon pembiakan ikan tanpa gangguan bagi terus memperkayakan sumber perikanan,” jelas beliau.

Tambah Dr. Azman, kajian bersama oleh institusi pengajian tinggi tempatan dan Jabatan Perikanan Malaysia menunjukkan bahawa purata kepadatan ikan di kawasan tukun Terengganu adalah yang tertinggi di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Purata kepadatan ikan di tukun-tukun Terengganu ialah yang tertinggi di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dengan kira-kira 75% kepadatan mengatasi Kelantan, Pahang dan Johor Timur. 

"Bagi tahun 2025, dengan izin Allah kita akan labuhkan lagi sekitar 100 unit tukun tiruan konkrit berbentuk kuboid. 

"Semua daerah yang ada pantai akan dapat bahagian masing-masing secara adil," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri juga telah menerima satu cadangan alternatif daripada institusi tempatan untuk menggunakan tukun tiruan sebagai langkah mengurangkan hakisan pantai.

Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada biodiversiti laut, tetapi turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi komuniti nelayan, aktiviti pelancongan marin serta menjaga kelestariann alam sekitar.

 


Tag: