UC TATI Jalin Kerjasama Dengan ZSR Vortices Dan SRC Global Resources

KEMAMAN, 1 Oktober - Kolej Universiti TATI (UC TATI) hari ini menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan industri untuk memantapkan lagi kualiti pendidikan, penyelidikan dan inovasi pusat pengajian itu.

Bagi tujuan tersebut, UC TATI telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan ZSR Vortices Sdn. Bhd. sebuah syarikat yang dilesenkan oleh PETRONAS untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan dalam industri minyak dan gas untuk sektor ‘upstream’ and ‘downstream’.

UC TATI turut menjalinkan kerjasama dengan SRC Resources Sdn Bhd sebuah syarikat yang memberikan khidmat dalam latihan dan perundingan terutamanya berkaitan industri minyak dan gas.

Bagi kedua-dua MoU itu, UC TATI diwakili Rektornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad, manakala ZSR Vortices Sdn. Bhd. diwakili Pengarahnya, Abdul Rahim Pazikadin dan SRC Global Resources Sdn Bhd. pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Hisham Mohd Ariffin.

Dr. Anuar berkata, kedua-dua perjanjian persefahaman ini merupakan satu langkah dominan yang memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“ZSR Vortices Sdn Bhd sebelum ini telahpun menjalinkan kerjasama dengan pihak UC TATI dengan menerima pelajar praktikal di syarikatnya seramai tiga orang.

“Keyakinan syarikat ZSR terhadap kualiti graduan UC TATI telah membawa kepada penawaran tujuh kekosongan jawatan jurutera dan 25 jawatan pembantu teknik di syarikat mereka kepada graduan UC TATI,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara UC TATI Dengan ZSR Vortices Dan SRC Global Resources di Dewan Al-Jazari, UC TATI, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan UC TATI, Prof. Madya Ts. Dr. Rosliza Ramli dan Pendaftar UC TATI, Shafaruddin Mustafa.

Tambahnya lagi, kakitangan UC TATI juga akan mendapat manfaat dari segi penglibatan dalam projek penyelidikan dan komersial melalui perjanjian persefahaman ini.

Sementara itu katanya, kerjasama dengan syarikat SRC Resources Sdn Bhd. pula memberi fokus terhadap penyediaan kemudahan latihan di UC TATI dalam bidang 'Scaffolding'. 

“Sasaran seramai 20 peserta kursus akan menjalani latihan dalam sebulan di UC TATI. Ini bermakna UC TATI bakal menerima 240 peserta kursus dalam setahun,” ujarnya.

Katanya, kursus ditawarkan iaitu pada tahap asas dan pertengahan yang akan bermula bulan ini telah ditauliahkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.