Ujian Mungkin Sama, Tetapi Peritnya Berbeza
KUALA TERENGGANU, 13 November - Hampir seminggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kembali dilaksanakan di seluruh negara, rata-rata peniaga di Pasar Kedai Payang merasai kesannya.
Pengusaha beca, Omar Awang, 75, memaklumkan bahawa suasana di lokasi membeli-belah itu semakin sunyi sejak empat hari lalu.
"Hari ini, sudah empat jam saya menunggu namun masih tiada pelanggan.
"Sewaktu rakyat Malaysia boleh merentas negeri dahulu, bolehlah dapat RM20 hingga RM30 sehari, sekarang tiada langsung," katanya ketika ditemui di sana dalam tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), petang semalam.
Hal itu turut diakui pekerja kedai produk songket, Siti Nordiana Ibrahim, 20.
Jelasnya, semenjak PKPB dilaksanakan, bilangan pengunjung ke Pasar Kedai Payang berkurangan mendadak.
"Memang sunyi dan tiada orang datang, apatah lagi hendak membeli. Mujur, kami ada juga menjual secara dalam talian, tetapi masih kurang sambutan.
"Produk songket memang mengharapkan pembelian daripada pengunjung luar dan sebelum ini kita mendapatkan jualan sehingga mencecah RM500 sehari," katanya.
Sementara itu, peniaga kedai kain pasang dan sutera, Ani Liyana Jalil,26 juga mengatakan, sebelum ini, kedai-kedai di lokasi terkenal itu sentiasa memperoleh jualan.
"Setakat ini, waktu sekarang yang dirasakan paling teruk, bulan Ramadan pun tidak begini.
"Tiada orang langsung yang masuk ke kedai," katanya.
Bagi pengusaha kedai peralatan tembaga dan dapur, Ahmad Bakar, 68, yang telah hampir 20 tahun berniaga di situ, kekurangan pelanggan terutama dari luar negeri memang memberi kesan.
"Sekarang orang kurang, namun sekurang-kurangnya ada sedikit orang tempatan yang membeli.
"Alhamdulillah, saya masih memperoleh jualan sekitar RM200 hingga RM300 sehari. Jika ada pelancong sebelum ini, bolehlah dapat sehingga RM600 sehari," katanya.