Sultan Mizan berkenan hadir majlis sambutan Maal Hijrah. Foto: Tg Syamim Tg Ismail |
Umat Islam di negara ini sedang diuji dengan usaha-usaha untuk menafikan kedudukan Islam seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, suasana sukar yang turut dihadapi umat Islam di seluruh dunia itu menuntut kepada kesatuan dan perpaduan dalam kalangan ummah, yang merupakan kunci penting kepada peristiwa hijrah.
Kunci penting itulah yang membawa kepada terbinanya Madinah, model kerajaan Islam terbilang yang dipenuhi rahmat kepada seluruh masyarakat sama ada penduduk Islam atau bukan Islam.
“Sebagai umat Islam marilah kita melakukan perubahan dengan berhijrah ke arah yang lebih baik dalam semua aspek kehidupan, selaraskanlah semuanya agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah S.W.T,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1440H/2018M di Stadium Negeri , Kuala Terengganu, semalam
Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail yang diiringi Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ A. Rahman Yahya,barisan kepimpinan kerajaan dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul. Hadi Awang.
Sultan Mizan menarik perhatian, kejayaan peristiwa hijrah telah mengukuhkan pegangan akidah, ibadat, akhlak dan gaya hidup umat Islam pada zaman berkenaan bahkan, langkah
mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar turut memperlihatkan kebesaran nilai kasih sayang sesama Islam.
Titah baginda, kasih sayang merupakan perisai dalam menjaga kekuatan sesebuah negara di samping membanteras kemiskinan dan masalah sosial dalam kalangan fakir miskin dan golongan kurang berkemampuan.