UMT Perkenal Terengganu Kepada NTOU
Dr Liew (empat dari kanan) menjelaskan cara pembiakan ketam nipah kepada pelajar Taiwan di Pusat Pembiakan Ikan di UMT. |
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan Terengganu sebagai salah satu negeri pelancongan terbaik di Malaysia kepada 19 orang pelajar dari Universiti Samudera Kebangsaan Taiwan (National Taiwan Ocean University - NTOU).
Pengendali lawatan tersebut, Dr Liew Hon Jung berkata, kunjungan mereka ke Terengganu adalah sebagai kunjungan balas lawatan pelajar UMT ke Taiwan tidak lama dahulu.
"UMT memperkenalkan budaya kehidupan masyarakat Terengganu termasuk membawa mereka mengunjungi kawasan perusahaan keropok lekor di Kampung Losong.
"Kami juga membawa mereka ke restoran terpilih yang menjual makanan tradisional Terengganu seperti nasi dagang dan satar," katanya.
Dr Liew (dua dari kiri) memberi taklimat tentang cara pemeliharaan udang galah kepada pelajar Taiwan. |
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Perasmian International Aqua-Science Programme For NTOU di UMT, Gong Badak, semalam.
Rombongan pelajar luar negara yang dipimpin oleh Penolong Profesor NTOU, Young-Mao Chen itu akan melawat destinasi pelancongan termasuk Pasar Payang, Pulau Bidong, Pulau Perhentian, Taman Tamadun Islam (TTI), muzium negeri, China Town dan Tasik Kenyir mulai 5 hingga 18 Ogos ini.
Sementara itu menurut Dr Liew, pelajar-pelajar berkenaan juga didedahkan dengan enam program pengajian akuakultur yang diadakan di UMT.
"Akuakultur di Malaysia dan Pembiakan Ikan/Kajihayat serta Praktikalnya, dikendalikan oleh Prof Dr Abol Munafi Ambok Bolong, Dr Liew Hon Jung, Dr Sharifah Rahmah, Mohd Sabri Muda dan Mohd Zaidi Ibrahim.
"Akuakultur Kelas 2 (Pembiakan Ketam dan Udang/Kajihayat) serta Praktikalnya diselenggarakan oleh Prof Dr Mohd Ikhwanuddin Abdullah, Noraini Mohd Husin, Syahnon Mohamad dan Mohd Iffa Rezuan Rusdi.
"Akuakultur Kelas 3 (Penangkapan Ikan di Malaysia) dikendalikan oleh Dr Tun Nurul Aimi, Dr Mohd Fazrul, Suhairi Mazlan dan Zulkarami Endut.
"Akualkultur Kelas 4 (Kualiti Air) dan Praktikalnya dikendalikan oleh Dr Nor Azman Kasan, Amyra Suryatie Kamaruzaman dan Wahidah Wahab.
"Akuakultur Kelas 5 (Kesihatan Ikan) dan Praktikalnya diselenggarakan oleh Penolong Prof Dr Marina Hassan, Farizan Abdullah dan Wahidah Wahab.
"Manakala Akuakultur Kelas 6 (Pemakanan) dan Praktikalnya (Persediaan Formulasi Diet) dikendalikan oleh Dr Sharifah Rahmah dan Dr Rasina, Ahmad Ideris Abdul Rahim dan Ahmad Najmi Ishak," tambahnya.
Sesi bertukar ilmu dan maklumat antara pihak UMT dan NTOU turut diselitkan. Para pelajar Taiwan kemudian dibawa melawat ke pusat pembiakan ikan air tawar dan air masin di universiti tersebut.