• 20 Sept 2024 | 16 Rabiul Awal 1446

UPSR 2016: 271 Calon Dapat Semua A


Terengganu mencapai  2.95 Gred Purata Negeri (GPN) bagi  peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, mengatasi Gred Purata Nasional yang merekodkan 2.96.

Daripada GPN itu, seramai  20,341 calon yang menduduki UPSR , seramai  271 atau 1.33 peratus murid yang mendapat semua A (6A),  manakala minima D termasuk semua A seramai 13,906 pelajar.

Antara 10 sekolah yang disenaraikan terbaik, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Bidong, Setiu;  SK Kuala Ping, Hulu Terengganu;  SK Bukit Losong, Kuala Terengganu dan SK Pasir Raja, Dungun.

Sekolah lain,  SK Batangan, Marang; SK Kampung Nangka, Besut; SK Darat Batu Rakit, Kuala Nerus, SK Kampung Raja, Besut; SK Kampung La, Setiu dan SK Bukit Petiti, Kuala Terengganu.

Manakala, bagi pencapaian di peringkat daerah pula, Hulu Terengganu berjaya menduduki tempat pertama dengan Gred Purata 2.84, diikuti Kuala Nerus  2.89, Kuala Terengganu 2.92, Dungun 2.95, Kemaman, 2.96, Setiu dan Besut masing-masing 3.01 dan Marang, 3.03.

Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin, berkata JPNT mengakui pencapaian UPSR tahun ini agak merosot berikutan hanya 271 pelajar mendapat semua A daripada 20,341 calon .

Katanya, kemerosotan prestasi dikesan kerana pelajar dipercayai gagal menguasai mata pelajaran Bahasa Inggeris Penulisan dan Sains.

“Kita akan mengkaji dan menganalisa perkara ini dengan melihat balik dan tuntutan mengenai mata pelajaran itu seperti yang dimahukan Kementerian Pendidikan pada tahun  depan .

“Pada masa sama, kita juga akan mengenalpasti kepakaran dan pengalaman guru, mempergiatkan program motivasi bermula daripada awal persekolahan dan mengkaji kelemahan pelajar ”katanya.




Tag: