KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bersetuju memberi moratorium terhadap pinjaman dan sewa premis perniagaan 630 usahawan kecil selama dua bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini A. Rahman berkata, inisiatif khas untuk peminjam dan penyewa premis YPU itu membabitkan peruntukan berjumlah RM867,395.
"Maknanya kita tidak ambil bayaran peminjam Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) yang melibatkan seramai 522 orang selama dua bulan iaitu Julai dan Ogos dengan jumlah RM506,612.
"Manakala bagi penyewa premis perniagaan juga dikecualikan bayaran sewa untuk bulan Jun dan Julai yang membabitkan 108 penyewa bagi 134 premis tidak termasuk pasar raya Giant.
"Fokus untuk membantu mereka yang terlibat dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berjumlah RM 360,783, maknanya ada insiatif untuk mereka menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Penuh,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung pada Program Bicara Khas EXCO 'Cabaran dan Peluang Usahawan Hadapi PKP', di TV Darul Iman (TVDI), baru-baru ini.
Dalam perkembangan berbeza Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri terus komited menambahbaik aplikasi Ganu Shop yang dimulakan pada tahun lalu sebagai usaha membantu para usahawan.
"Sekarang ini dalam proses penambahbaikan melibatkan sistem perakaunan, transaksi atas talian melibatkan beberapa bank yang terpilih telah diatasi.
"Sekarang ini telah ada jalan penyelesaian iaitu mengenai jaminan wang dikembalikan, E-Wallet dan penghantaran," ujarnya.
Katanya, Pos Malaysia telah bersetuju menjadi penghantar rasmi bagi aplikasi tersebut dan telah melalui ujian fasa pertama.
"Ujian kedua akan dilakukan dalam masa terdekat, sekarang ini laman web ganushop.com.my telah pun boleh dilayari sama ada melalui peranti android dan IOS.
"Ia akan dibuat pelancaran secara ringkas jika tidak boleh diadakan secara fizikal akan dibuat secara atas talian," ujarnya.
Ujarnya, pendaftaran untuk usahawan memasarkan produk mereka melalui aplikasi berkenaan telah pun dibuka.
"Sekarang ini dah ada seramai 450 syarikat PKS telah pun mendaftarkan 1,057 produk mereka untuk sedia dipasarkan.
"Dalam masa yang sama saya mengambil peluang menyeru usahawan yang mempunyai produk yang ingin dipasarkan melalui aplikasi ini boleh menghubungi YPU untuk proses pendaftaran dan satu syarikat boleh memasarkan sebanyak mana pun produk yang mereka miliki," ujarnya lagi.