KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Selain makan di kedai, beberapa lagi kemudahan bagi sektor sosial yang diberikan kerajaan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap negeri fasa 2 dan ke atas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa, Selasa ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan tersebut adalah kebenaran rentas daerah, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal serta pelancongan dalam negeri.
Katanya, bagi individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah mesti menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
Sementara itu katanya, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.
"Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya," ujarnya dalam perutusan khas, hari ini.
Katanya, aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan homestay dan hotel.
"Pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap, " ujarnya.
Bagaimanapun jelas Muhyiddin, seseorang individu hanya diiktiraf sebagai individu lengkap vaksinasinya apabila penerima jenis vaksin dua dos perlu melepasi hari ke-14 suntikan dos kedua, manakala jenis vaksin satu dos pula perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.