KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Kumpulan pertama vaksin Pfizer BioNTech yang mengandungi lebih 16,000 dos telah selamat sampai ke tiga daerah di dalam negeri ini termasuk di Unit Farmasi Utama, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini 1.30 tengah hari tadi.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan, ketibaan vaksin tersebut yang dibawa oleh sebuah van DHL telah disambut pihak Jabatan Kesihatan Negeri bersama kontinjen polis peronda Terengganu dari Subang, Selangor.
"Seperti mana dimaklumkan, majlis pelancaran pemvaksinan akan bermula dengan suntikan pertama yang akan diterima oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Manakala proses pemberian vaksin bagi petugas barisan hadapan sama ada daripada Kementerian Kesihatan (KKM) atau bukan KKM akan bermula pada 2 Mac ini," katanya ketika ditemui pemberita tengah hari tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa melaporkan penghantar vaksin ke tiga daerah penyimpanan vaksin iaitu di Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu telah diringi tiga kenderaan polis bersama lapan orang anggota melalui Op Pelali.
"Pihak kami akan membuat rondaan berkala di tempat penyimpanan vaksin tersebut dari semasa ke semasa," katanya.