Villapadu Desa Janjikan Percutian ‘Ala Kayangan’ Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Ingin merasai pengalaman bercuti di villa yang mewah dan privasi umpama berada di rumah sendiri dan jika itu yang diimpikan maka anda boleh merasainya di Villapadu Desa di Kampung Seberang Baruh, di sini
Pastinya rumah yang lengkap dengan set BBQ, peralatan rumah yang hebat dengan suasana yang eksklusif, ibarat anda pulang ke kampung halaman sendiri.
Paling menarik adalah sudah pasti landskapnya yang cukup cantik menghijau sambil bunyi air di kolam renang yang tenang menambahkan lagi perasaan bercuti yang bebas tanpa gangguan.
Menurut pemiliknya, Zulhisham Ayob,61, idea penataan landskap dan seni bina keseluruhan vila berkenaan dirancang rapi supaya keindahan alam semula jadi di sekitarnya dapat dinikmati tetamu sepanjang masa.
“Apabila lokasi penginapan terletak di dalam kampung, sudah tentu tetamu yang bakal tiba membayangkan panorama unik dengan idea binaan menarik, bilik selesa dan sedap mata memandang.
“Mengambil kira keperluan itulah landskap tropika cuba diketengahkan selari dengan keadaan asal tanah ini yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan hijau,” kata bapa kepada lapan anak yang berpandangan jauh itu.
Berpegang teguh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan berfungsi sebagai penginapan mewah yang mampu menyaingi mana-mana hotel lima bintang di luar jangkaan mereka, sebaik sahaja mereka mendaftar masuk.
Bermula dengan harga RM2,000 semalam, terdapat tiga bilik tidur utama yang mampu memuatkan 10 orang dewasa termasuk tiga kanak-kanak.
Katanya, dengan pakej yang ditawarkan walaupun bersifat ‘premium’ namun dijanjikan kepuasan berganda kepada mereka yang membelinya.
“Setiap pelanggan utamakan kebersihan, saluran paip yang terkemuka, katil yang selesa, penghawa dingin yang berfungsi, dapur yang serba lengkap, lokasi yang strategik, perkhidmatan pelanggan yang baik, sambungan internet, kemudahan hiburan dan perkhidmatan tambahan .
“Jadi kenapa saya tidak boleh menawarkan tetamu semua keselesaan yang mereka harapkan daripada percutian kelas pertama dan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang hebat dengan perkhidmatan yang baik daripada penduduk tempatan,” tambah bekas bos Pakar Media dan pengasas Oranje-ISC, salah satu agensi media dan pemasaran yang paling berjaya di Malaysia.
Satu pengalaman yang menakjubkan jika anda dapat berkunjung ke sini malah satu tempat yang sangat menarik dan sesuai untuk anda sekeluarga.
Apa yang penting, anda perlu tahu bahawa pengalaman, ketenangan dan kepuasan hati adalah jauh melampaui dari wang ringgit. Jadi jangan terlalu berkira untuk "hadiahkan" diri anda dan keluarga anda dengan percutian!
Empat hartanah di Kuala Terengganu, semuanya miliknya, kini menjadi tapak homestay vila mewah,yang membawa anda kembali kepada ke pangkuan desa dan alam menghijau tetapi lebih istimewa, dengan suasana yang lebih bergaya dan elegan.
Sebuah rumah kampung lama, telah diubah suai menjadi sebuah vila yang indah di bawah jenama Villapadu, dua lagi hartanah, satu di sepanjang Sungai Terengganu dan satu lagi di tepi laut, hampir siap sementara satu lagi masih dalam pembinaan di Kampung Kubang Parit.
“Ia bukan sekadar mempunyai harta untuk disewa, ia tentang memberikan segala-galanya kepada pelanggan,” ujarnya.