• 13 Nov 2024 | 11 Jamadil Awal 1446

Warga Emas Terkejut Rumah Baharu Siap Tiga Hari

BESUT, 11 Januari - Seorang warga emas, Hasimah Ali Seman, 70, terkejut apabila menerima kediaman lebih baik selepas rumah asal yang didiami selama lebih 20 tahun dihanyutkan banjir.

Kata Hasimah, dia juga sebak apabila mengenangkan jasa beberapa pihak terutamanya sukarelawan Pertubuhan Prihatin Anak Watan Terengganu yang bertungkus lumus menyiapkan teratak barunya dalam masa tiga hari tanpa sebarang upah. 

"Mak cik sama sekali tidak menyangka akan diberikan rumah sebegini, sangat-sangat bersyukur, mereka memulakan pembinaan rumah ini pada Jumaat yang lalu.

"Mak cik perhatikan kesemua sukarelawan ini membuat kerja bersungguh-sungguh bermula 9.00 pagi sehingga ke jam 3 pagi, tanpa menghiraukan hujan lebat pada hari pertama, dalam keadaan baju mereka basah mereka solat, berhenti makan, kemudian mereka kembali bekerja untuk memastikan ia siap.

"Sayu dalam hati ini, sehingga disuruh berhenti sekejap, mereka tetap meneruskan sampai sebegitu mereka tolong, tak tahu hendak kata apa dan bagaimana hendak membalas jasa baik mereka, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya, rumah ini terlalu sempurna dan sangat selesa bagi saya dan dua orang cucu yang tinggal dengan saya," ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di kediaman barunya di Kampung La, Hulu Besut, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pada awalnya dia tidak kisah jika binaan rumahnya hanya menggunakan kayu sedia ada asalkan keluarga boleh berlindung daripada hujan dan panas.

"Saya pada waktu itu buntu tambah lagi mengenangkan rumah ini menjadi kenangan bersama arwah suami yang meninggal pada enam tahun yang lepas, saya sangat-sangat berterima kasih kepada mereka yang telah membantu, hanya Allah jua yang mampu membalasnya," ujarnya lagi.

Sementara itu seorang lagi mangsa rumah hanyut ketika banjir, Abdul Razak Laboh, 64, juga menyatakan perasaan bersyukur dan terharu di atas bantuan yang dihulurkan oleh Prihatin Anak Watan Terengganu.

"Boleh dikatakan setiap tahun menghadapi banjir, cumanya kali ini keadaannya lebih teruk sehingga menghanyutkan rumah saya.

"Kerana menghadapi banjir setiap tahun saya berhasrat untuk membina rumah lain di atas tanah pusaka pemberian emak saya, yang saya telah mula bina sendiri yang hanya 30 peratus sahaja baru siap, bina sikit-sikit dengan mengggunakan wang yang disimpan hasil menoreh getah entah bila hendak siap.

"Jadi disebabkan menghadapi bencana rumah hanyut, NGO ini sanggup menyiapkan rumah saya.

"Jadi sangat beryukur dan gembira akhirnya dapat disegerakan pembinaan rumah ini melalui sukarelawan yang bertungkus lumus tanpa henti dan mengenal penat, dalam masa yang singkat dapat disiapkan," katanya.