'Waspada Agenda Pluralisme Agama'

KUALA TERENGGANU, 16 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, mengingatkan umat Islam agar berwaspada terhadap agenda pluralisme agama yang semakin merebak kebelakangan ini.

Menurutnya, terdapat segelintir pihak sedang giat mempromosikan konsep kesamarataan agama dengan menyatakan bahawa semua agama menyeru kepada kebaikan.

"Jangan fikir sifir agama sama seperti sifir Matematik. Sebaliknya, sifir agama mestilah berpandukan petunjuk Allah, bukan sekadar akal semata-mata.

"Walaupun semua agama menyeru kepada kebaikan, hakikatnya hanya agama Islam yang diterima oleh Allah sebagai agama yang benar, yang dibawa oleh semua nabi-nabi.

"Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau menjelaskan bahawa semua agama yang wujud pada hari ini pada asalnya adalah agama Islam yang dibawa oleh para nabi dalam zaman yang berbeza, namun telah diselewengkan oleh manusia sehingga Islam diperbetulkan kembali melalui ajaran Nabi Muhammad SAW.

"Walaupun begitu, Islam tetap menyeru penganutnya untuk menghormati agama lain dan berhujah dengan cara yang baik.

"Namun, menghormati agama lain tidak bermakna kita boleh terbabas sehingga melakukan amalan yang bercanggah dengan akidah Islam," tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa toleransi dalam beragama tidak bermaksud umat Islam harus menggadaikan prinsip-prinsip Islam yang telah ditetapkan.