World #Quranhour :Surah Al-Sajdah Jadi Pilihan Untuk Dibaca, Diperhalusi Dan Difahami

KUALA TERENGGANU, 26 April- Surah Al-Sajdah pada kali ini telah dipilih untuk dibaca, diperhalusi serta difahami pada sambutan World #QuranHour 2022.

Sehubungan dengan itu, empat lokasi telah dijadikan hotspot utama  melibatkan Masjid Abidin, Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dan Masjid Jamek, Kijal, Kemaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Masjid Abidin, Dato' Dr. Syed Mohammad Salleh Syed Yusof Al-Zawawi berkata, pemilihan surah Al-Sajdah sangat relevan dijadikan pilihan kerana mengandungi pengertian yang cukup baik selain dijadikan pilihan imam setiap kali solat subuh berjemaah pada Jumaat.

"Hari ini surah itu akan dibaca serentak di seluruh Malaysia tepat pada jam 12 tengahari, semoga ini menjadi titik permulaan untuk seluruh rakyat untuk mendekati al-Qur'an dan mengamalkannya dalam kehidupan, bukan hanya sekadar dibaca tetapi difahami dengan sebaik-baiknya.

"Bacaan surah yang mengandungi 30 ayat ini akan dibimbing oleh Imam Khas Masjid Abidin, Mohamed Abdel Hamid Kulaib Al-Azhari dan ditadabur oleh Ahli Panel Klinik Hukum Jabatan Mufti Terengganu, Ustaz Abu Usamah Mohd Hanafiah Tuan Guru Haji Husain,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, pada program berkenaan, di Masjid Abidin, di sini, pada hari ini.

Pada program tersebut turut diiringi doa khas kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Mizan, sempena hari keputeraan baginda ke-60.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

Menurut Dr. Syed Mohammad Salleh, generasi  kini perlu menekuni dan memahami al-Qur'an untuk dijadikan panduan hidup bagi memastikan wujudnya perpaduan dalam negara yang menjadi tunjang kepada kekuatan masyarat Islam di negara ini.

"Dimana umat hari ini jika diperhatikan mengaku beriman tetapi tidak mengenali jiran, sedangkan al-Quran mengajar kita agar berbuat baik kepada mereka dan seluruh anggota masyarakat.

"Impak serta kesan yang baik pasti akan dapat dirasa jika al-Qur'an itu didalami dengan sebaiknya untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian,"ujarnya lagi.

Beliau juga berharap agar kempen mengajak umat Islam berinterkasi dengan al-Qur'an itu dapat diteruskan pada setiap tahun dan disambut baik seluruh rakyat kerana ia merupakan pentas terbaik untuk mendekatkan masyarakat dengan kitab suci tersebut.