Terengganu, Oman Meterai Perjanjian Kendali Industri Minyak, Gas
KEMAMAN, 20 Januari –Yayasan Petronas meraikan 300 keluarga kurang berkemampuan di Pantai Timur sempena Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina 2023 yang diadakan di seluruh negara.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata program tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan PETRONAS untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.
Katanya, Program Sentuhan KasihFestiveTahun Baharu Cina menyasarkan kumpulan masyarakat B40 sama seperti Program Sentuhan Kasih Festive bagi perayaan utama lain yang diraikan di negara ini.
"Hasrat kami adalah supaya program ini dapat membantu membangkitkan keceriaan dan kegembiraan di kalangan golongan kurang berkemampuan sempena musim perayaan,” katanya dalam kenyataan disini, hari ini.
Tambah beliau, sumbangan kali ini berbentuk bekalan makanan asas dan barangan bertemakan perayaan Tahun Baharu Cina itu disampaikan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada 100 keluarga masing-masing di Kemaman, Bentong dan Kota Bharu.
Sementara itu, sumbangan bagi penerima di Kemaman disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat serta turut dihadiri Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid di dalam satu majlis di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina SRJK (C), Kemaman.
"Antara bekalan makanan asas yang disampaikan ialah beras, minyak masak, gula, garam, tepung, sardin, milo dan teh uncang serta kekacang.
"Selain itu, setiap keluarga juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti mi kering, minyak bijan, sos taucu dan cendawan kering," ujar beliau.
Menurut Mohammad Ahmad Shazly, sehingga kini seramai 2,150 keluarga kurang berkemampuan telah diraikan oleh Yayasan PETRONAS melalui Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina 2023 di 13 buah negeri dan dua wilayah persekutuan seluruh negara.