Dugaan Ramadan, Mangsa Rumah Terbakar Sebak Anak-Anak Dapat Baju Raya
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM688,000 Bantuan Pendidikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2024/2025 kepada 1,376 penerima di seluruh negeri ini.
Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, bantuan sebanyak RM500 setiap seorang itu merupakan inisiatif Yayasan Terengganu dalam menghargai pelajar sekali gus mendorong mereka melakukan yang terbaik khususnya dalam peperiksaan STPM nanti.
“Kemajuan dan kejayaan sesebuah negara dalam abad ke-21 ini bergantung kepada tahap pendidikan serta kualiti modal insan rakyatnya.
“Menyedari hakikat tersebut, Yayasan Terengganu telah berusaha secara konsisten melahirkan modal insan berkaliber bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan negeri terus terjamin di masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan STPM Yayasan Teregganu Tahun 2024/2025 Daerah Kuala Terengganu & Kuala Nerus di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, di sini, hari ini.
Dalam majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, seramai 272 pelajar Tingkatan Enam dari lapan buah sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu dan 137 pelajar dari tiga buah sekolah menengah di Kuala Nerus menerima bantuan berkenaan.
Sementara itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri membelanjakan puluhan juta ringgit setiap tahun melalui pelbagai insentif pendidikan untuk melahirkan pelajar berilmu pengetahuan tinggi, berakhlak mulia serta berdaya saing di peringkat nasional mahupun global.
“Bantuan Pendidikan STPM ini contohnya adalah salah satu manifestasi kerajaan negeri untuk terus memacu kecemerlangan modal insan berpaksikan slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’.
“Justeru kita mengharapkan pelajar dapat menggunakan (bantuan) secara bijaksana, penuh amanah dan bertanggungjawab. Teruslah tekun dalam pelajaran, tingkatkan displin diri serta tanamkan semangat untuk sentiasa menjadi insan yang terbaik,” ujarnya.