KEMAMAN, 14 Februari - Seramai lebih 250 warga Tionghoa diraikan dalam Majlis Ramah Mesra sempena Tahun Baharu Cina 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata sambutan Tahun Baru Cina dilihat mampu merapatkan lagi hubungan silaturahim sesama masyarakat setempat meskipun berbeza budaya, agama dan kepercayaan masing-masing.
"Saya mengharapkan kalian dapat bergembira bersama keluarga menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
“Semoga perniagaan kalian juga tahun ini berada dalam keadaan yang baik serta memperolehi keuntungan setelah beberapa tahun menghadapi cabaran dalam musim wabak Covid-19.
"Kerajaan negeri pula sentiasa mengharapkan kita semua dapat meneruskan kehidupan di dalam keadaan aman dan damai," ujarnya ketika merasmikan majlis itu di Dewan Seri Amar Diraja di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perniagaan Cina Kemaman, Dato' Soh Kok Hiang menzahirkan rasa bertuah dan teruja di atas penghargaan dan kecaknaan pemimpin kerajaan negeri dengan mengadakan majlis yang sangat istimewa ini.
"Sepanjang Hanafiah menjadi wakil rakyat di sini, beliau telah banyak memberikan bantuan serta menolong masyarakat Tionghoa.
"Antaranya ialah menyediakan kemudahan dan fasiliti Dewan Tionghoa Kemaman untuk membolehkan pelbagai aktiviti dapat diadakan, menyumbang untuk pintu gerbang cina di jalan Jakar, menyediakan tapak tanah untuk rumah mayat bagi kegunaan dan kemudahan kaum kami," tambahnya.