Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA TERENGGANU, 20 Disember- Sebanyak RM96,000 diperuntukkan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sebagai bantuan kepada peniaga dan penjaja kecil di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Nurkhuzaini bin Ab Rahman memaklumkan, bantuan tersebut merupakan satu lagi kaedah yang dilaksanakn YPU supaya dapat membantu usahawan diperingkat bawah.
"Dari segi bantuan memang kita nampak kecil apabila dibahagikan kepada 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada. Namun, jumlah penerima mengikut pertimbangan DUN terbabit untuk mengenal pasti apa yang diperlukan oleh peniaga-peniaga di kawasan mereka dengan jumlah RM3,000 yang diperoleh.
"YPU tidak tunggu banyak dahulu baru beri. Dengan dana yang ada, ambil dahulu dengan tujuan menyebar luaskan bantuan-bantuan yang ada sebelum bantuan yang lebih besar diperoleh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Perniagaan Kepada Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Terengganu anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di Primula Beach Hotel, hari ini.
Tambahnya, melalui penilaian pihak YPU, terdapat usahawan dari segmen tertentu ada yang mula pulih selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kali kedua ini.
"Tetapi, ada lagi usahawan yang masih cari rentak. Untuk mereka, kita buka pintu YPU untuk datang berbincang tentang keperluan mereka melalui khidmat yang ada. Kita juga telah berbincang dengan agensi-agensi yang mempunyai bantuan PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) untuk memohon bantuan bagi negeri Terengganu antaranya, Agro Bank yang menjadi salah satu agensi yang menerima amanah dana tersebut,
"Bagi bantuan Covid-19 pula, sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 iaitu sebanyak RM3.5 juta, ia akan diproses pada tahun hadapan," katanya.