Jalur Gemilang
Berita :
10 Kerusi Parlimen DAP Boleh Dirampas Jika Muafakat PN-BN Berjaya
10 Kerusi Parlimen DAP Boleh Dirampas Jika Muafakat PN-BN Berjaya
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
100

DUNGUN, 20 November – Sebanyak 10 kerusi Parlimen yang kini dimenangi DAP berpotensi beralih tangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya muafakat politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dapat dibentuk dengan baik. 

Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain kerusi berkenaan, sekurang-kurangnya 28 kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) juga berpotensi dirampas sekiranya pertandingan tiga penjuru dapat dielakkan.

“Ada 28 kerusi yang dimenangi oleh PH yang sekiranya tidak berlaku tiga penjuru, kita boleh menang, kita boleh rampas balik.

“Ada 10 kerusi DAP di peringkat Parlimen. Sekiranya muafakat ini kita atur dengan begitu kemas, kerusi itu pun boleh kita menangi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2.0 dan Sambutan 70 Tahun PAS Kawasan Dungun di sini pada Khamis.

Ahmad Samsuri berkata, kepentingan peribadi termasuk keinginan pemimpin parti untuk menjadi calon pilihan raya perlu diketepikan dalam rundingan pembahagian kerusi.

Menurutnya, keutamaan seharusnya diberikan kepada kebolehan untuk memenangi sesebuah kerusi, bukannya kedudukan seseorang dalam parti.

“Kalau masuk parti politik, menyertai politik, berjawatan politik, mesti jadi calon, kalau macam itu, susahlah.

“Lihatlah objektif yang lebih besar yang kita nak capai, bukan melihat kepentingan tiap-tiap orang atau kepentingan ketua bahagian atau Yang Dipertua PAS semata-mata,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kedua-dua pihak perlu berjiwa besar dalam menjayakan kerjasama berkenaan kerana kesan kegagalan membentuk muafakat politik adalah lebih besar.

“Jangan minta kita sahaja dalam Perikatan Nasional untuk berjiwa besar. Pihak satu lagi pun perlulah berjiwa besar,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan