Jalur Gemilang
Berita :
Prinsip Kerjasama PN-BN di Melaka Perlu Diguna Pakai di Negeri Lain
Prinsip Kerjasama PN-BN di Melaka Perlu Diguna Pakai di Negeri Lain
Husaif Mamat
2 jam yang lepas
70

DUNGUN, 20 November – Prinsip kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang digunakan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor perlu turut diguna pakai di negeri-negeri lain dalam rundingan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi Perikatan Nasional, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap pihak perlu berpegang kepada prinsip yang konsisten dan tidak mengubah peraturan rundingan mengikut kepentingan masing-masing.

Mengumpamakan kerjasama politik seperti pertandingan bola sepak, beliau berkata, peraturan tidak seharusnya diubah pada saat akhir hanya kerana melihat kekuatan pasukan lain.

“Kalau kita bermain bola, dah pakai jersi nak main bola, bila dia tengok pasukan kita itu pemain handal-handal, tiba-tiba ubah undang-undang pertandingan. Tak kena.

“Tak adil kita nak main ubah-ubah pada saat akhir. Kena guna peraturan dan undang-undang yang sama.

“Undang-undang di negeri Melaka (Johor dan Negeri Sembilan) kita gunakan, gunakanlah juga prinsip itu di tempat-tempat yang lain,” katanya.

Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2.0 dan Sambutan 70 Tahun PAS Kawasan Dungun di sini pada Khamis.

Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa tuntutan supaya berjiwa besar dalam menjayakan muafakat politik tidak seharusnya diletakkan kepada PN semata-mata, sebaliknya perlu dizahirkan oleh kedua-dua pihak.

“Jangan minta kita sahaja dalam Perikatan Nasional untuk berjiwa besar. Pihak satu lagi pun perlulah berjiwa besar.

“Tidak ada istilah abang long dalam perbincangan dan perundingan. Barulah kita duduk sebagai rakan yang setara untuk berbincang.

“Jangan memikirkan kehendak dia sahaja tanpa memikirkan bahawa kita juga ada kehendak,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan