DUNGUN, 28 Julai - Seramai 100 keluarga lebih memenuhi kawasan Taman Rekreasi Limbong, Paka bagi menyambut program Potluck Iftar 3.0 DUN Paka sempena seruan berpuasa suna pada 10 Muharram, kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, program yang diadakan setiap tahun itu menerima sambutan diluar jangkaan kerana lebih daripada 100 keluarga mendaftar untuk menyertainya
"Kita dapat rasai sendiri suasana kemeriahan dan keakraban sesama masyarakat kita apabila masing-masing berpakat beri makanan kepada orang lain secara juadah bawaan (potluck).
"Saya sendiri tengok orang ramai 'mari' tadi sampai tidak berasa lapar berpuasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ProgramSambutan Potluck Iftar 3.0 di Taman Rekreasi Limbong, Paka baru-baru ini.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada masyrakat setempat yang menyertai program berkenaan dan sudi membawa makanan lebih untuk dikongsi bersama.
"Bahkan tidak lupa juga, ucapan terima kasih kepada syarikat-syarikat yang memberi sumbangan dalam bentuk wang dan makanan.
"Walaupun mereka tidak dapat hadir, sumbangan tersebut amat dihargai dan moga Allah meluaskan rezeki mereka," jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Satiful berkata, amalan berpuasa sunat yang dianjurkan agama Islam itu turut menjadi medan merapatkan ukhuwah selain membina masyarakat yang kukuh jika diketengahkan dalam program sebegitu.
"Kalau kita seorang hendak buat puasa sunat ni kadang-kadang berasa malas juga, tetapi apabila ada berbuka puasa ramai-ramai ini terasa lebih semangat sikit untuk melakukan puasa sunat.
"Terima kasih semua yang terlibat menjayakan Sambutan Potluck 3.0 ini. Hidup ukhuwah dan teruskan semangat kekeluargaan kita," ujarnya.