KUALA NERUS, 6 Januari – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Terengganu sedia menggerakkan 1,026 anggota ke seluruh negeri Terengganu melalui Operasi Murni (Op Murni) sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir.
Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara skop lain op tersebut ialah membantu melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir terutama di kawasan tumpuan seperti kediaman, rumah ibadat, sekolah dan klinik kesihatan.
“Ini termasuk kerja-kerja baikpulih jambatan yang terjejas, membantu Kementerian Kesihatan Malaysia melakukan ujian pengesanan COVID-19 terutama terhadap mangsa-mangsa banjir serta bersiap siaga bagi mendepani sebarang kemungkinan gelombang banjir seterusnya.
“Biarpun situasi banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya, komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri serta setiap agensi berkepentingan tidak berganjak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media khas Op Murni ATM di Terengganu di Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Seri Pantai, Seberang Takir hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Menurut Hishamuddin, sebarang keperluan tambahan lain akan ditambah mengikut keperluan dan permintaan kerajaan negeri.
“ATM akan bantu apa jua yang terdaya demi keselamatan dan kebajikan rakyat Terengganu,” jelasnya.