116 Kanak-Kanak Sertai Khatan Perdana Rhu Rendang

MARANG, 19 Januari- Seramai 116 kanak-kanak menyertai Program Khatan Perdana 2025 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang diadakan di Masjid Rhu Muda, di sini, semalam.

Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Hassan Awang berkata, program berkenaan bukan sahaja memenuhi tuntutan agama tetapi turut mencipta suasana penuh keceriaan dengan pelbagai aktiviti menarik.

“Ini adalah acara tahunan yang akan terus kita laksanakan dan alhamdulillah, sambutan pada tahun ini sangat luar biasa dengan 116 penyertaan, lebih ramai berbanding tahun sebelumnya. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir dan mendaftarkan anak-anak mereka dan juga Masjid Rhu Muda yang bekerjasama erat menjayakan program ini.

“Syukur kepada Allah SWT, hari ini anak-anak kita menjalani salah satu ibadah penting dalam Islam. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan demi kebaikan dan manfaat masyarakat di DUN Rhu Rendang,” ujarnya ketika berucap di majlis tersebut.

Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof.

Menurut Hassan, sempena program berkhatan secara beramai-ramai itu, para peserta diarak mengelilingi kampung, diiringi oleh ahli keluarga dan penduduk setempat. 

“Acara diteruskan dengan siraman air bomba yang menghidupkan suasana ceria dan menjadikan pengalaman ini lebih bermakna buat anak-anak,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Program Khatan Perdana turut diserikan dengan Mini Karnival Jom Ke Masjid, yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk semua lapisan masyarakat. 

“Antaranya ialah ceramah agama, permainan Supa Dupa, dan penyertaan pelbagai agensi seperti KWSP, AADK, YAPEIM, dan lain-lain. 

“Kehadiran agensi-agensi ini memberikan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan informasi dan khidmat nasihat secara terus,” ujarnya.
 


Tag: