Berita :
 120 'Wira Malam' Dirai Sempena Hari Raya
120 'Wira Malam' Dirai Sempena Hari Raya
Mohd Irsyadi Abu Bakar
7 jam yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Disebalik pengiktirafan yang diterima Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebagai antara '10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia', hadirnya wira-wira tidak didendang yang bertungkus-lumus memastikan status 'bahagia' itu terus terpelihara dengan membersihkan sampah-sampah di seluruh bandar tersebut serta kawasan-kawasan tumpuan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif meraikan 120 petugas kutipan sampah MBKT sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah selaku exco bertanggungjawab menyerahkan sumbangan berjumlah RM12,000 kepada para petugas dalam satu majlis keraian, malam tadi.

Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan berkenaan dan menyifatkan keprihatinan itu dapat menyuntik semangat para petugas yang terpaksa berkorban terutama pada malam hari raya.

"Pada malam ini semua pekerja kebersihan mendapat sedikit imbuhan bagi memastikan gerak kerja lancar sekali gus memberi suntikan semangat kepada pekerja kita untuk membasmi segala masalah sampah dan memastikan daerah Kuala Terengganu bersih sepanjang Ramadan dan Syawal nanti.

"Ini petugas sokongan yang mana sekiranya kontraktor menghadapi masalah, kita akan pastikan membantu membasmi masalah yang timbul," katanya.

Mengulas lanjut, Lizan memaklumkan bahawa operasi kebersihan secara proaktif akan bermula malam ini (malam tadi) sehingga hari raya keenam.

 "Kita bersama pasukan kebersihan akan 'stand by' memastikan segala masalah sampah yang berlaku diselesaikan.

"Sekiranya pihak kontraktor tidak mampu mengutip sampah yang banyak, kita akan gerak dengan lebih kurang 10 lori tersedia bagi memastikan bahawa segala masalah sampah diselesaikan sebelum menjelang pagi raya.

"Sekiranya masih belum selesai, selepas solat Aidilfitri kerja akan disambung semula," jelasnya.






Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan