Seramai 1,260 pengayuh basikal lasak tempatan dan luar negara mengesahkan penyertaan di kejohanan Mountain Bike Batangan Jamboree 2016, di Kampung Batangan, Seberang Marang pada 24 Disember (Sabtu) ini.
Program yang menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM13,000 itu turut mendapat penyertaan peminat sukan lasak berbasikal dari Thailand, Bangkok, Singapura dan juga Brunei.
Sebanyak lapan kategori akan dipertandingkan seperti Men Junior (17 dan ke bawah), Men Open (18-35 tahun), Men Master (36-44 tahun), Men Veteran 45 dan ke atas), Kak Chik (34 ke bawah) dan Kak Long (35 ke atas).
Kategori lain, Fat Bike Open, Heavy Weight (90 kg) dan Terengganu Closed mengutamakan pengayuh baru yang belum pernah memenangi acara berbasikal (podium).
Penganjuran pertama kali oleh kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu itu sebagai platform mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.
Pengurus Promosi sekretariat itu, Ahmad Fathil Abdul Ghani, berkata, pada masa sama mahu menonjolkan sub sektor sukan dan eko pelancongan di lokasi terbaik yang terdapat di Terengganu.
Katanya, Kampung Batangan, Marang dipilih menjadi lokasi kejohonan memandangkan bentuk muka buminya yang bersesuaian untuk aktiviti basikal lasak dan ekstrim di negeri ini.
“Secara tidak langsung, kejohanan seumpama itu mampu meningkatkan aktiviti ekonomi dan pelancongan masyarakat setempat seperti mempopularkan lagi industri keropok lekor, dodol daun palas, manisan kelapa, batik, sutera ,industri kraf, perhotelan, chalet dan inap desa setempat,” katanya.