1,336 Nelayan Kuala Nerus, Setiu Terima Impak Tukun Tiruan


Azman (tengah) menyaksikan kerja menurunkan tukun dasar lembut di perairan Terengganu.
Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 25 Ogos - Sebanyak 23 unit tukun kuboid yang dilabuhkan di dua lokasi pada tahun ini berjaya memberi impak kepada 1,336 nelayan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek yang melibatkan kos sebanyak RM450,000 akan memberi manfaat jangka panjang masing 843 dan 493 di Setiu serta Batu Rakit, Kuala Nerus.

“Daripada jumlah itu kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM150,000 selebihnya tanggungan daripada kerajaan persekutuan dengan berat hampir 19 tan metrik seunit.

Tukun yang dilabuhkan ini berfungsi untuk memperkayakan sumber dengan menarik ikan supaya datang ke kawasan perairan akhirnya menjadi sumber tangkapan nelayan-nelayan kita, ia juga boleh menjadi penampan untuk mengelakkan pencerobohan daripada pukat tunda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Program Melabuh Tukun Negeri Terengganu 2019 di Merang, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pihaknya menyasarkan aktiviti berkaitan tukun tiruan dan unjang dapat dilaksanakan sebelum tiba musim tengkujuh atau selewat-lewatnya pada penghujung Oktober ini.
Tukun kuboid.
“Hujung bulan Ogos ini ada satu lagi program melabuhkan unjam di kawasan Setiu bermakna hanya berbaki untuk daerah Kemaman sahaja lagi yang belum ada lagi program melabuh unjam atau tukun,” tambah beliau

Sementara itu, menurut Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali yang turut hadir berkata, kajian Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) Terengganu mendapati lokasi tukun dilabuhkan kerajaan negeri telah memberi kesan positif kepada biodiversiti pelbagai spesies ikan.

Menurutnya, spesies ikan selepas 45 bulan tukun dilabuhkan di lokasi kajian didapati bertambah dari 15 kepada 109 spesies membabitkan 76 spesies komersial dan 33 spesies batu karang.

“Sebanyak 32 spesies ikan komersial dan 14 spesies ikan batu karang pula direkodkan yang aktif di tukun keluli selepas dilabuhkan perairan Terengganu, katanya.




Tag: