lightning-solid
Berita :
Kerosakan Terumbu Karang Ancam Habitat, Biodiversiti Marin
Kerosakan Terumbu Karang Ancam Habitat, Biodiversiti Marin
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
99

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Kerosakan terumbu karang akibat aktiviti manusia bukan sahaja membawa kerugian dari sudut kewangan, malah mengancam habitat ikan, biodiversiti serta perkhidmatan ekosistem yang penting kepada kehidupan marin.

Pegawai Perikanan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia, Izarenah Mad Repin berkata, terumbu karang mengambil masa bertahun-tahun untuk terbentuk dan memainkan pelbagai fungsi penting dalam ekosistem marin.

Katanya, kerosakan akibat tindakan seperti melabuhkan sauh, pencemaran serta aktiviti tidak bertanggungjawab boleh menyebabkan kehilangan habitat ikan dan biodiversiti marin.

“Kerugian akibat kerosakan terumbu karang bukan hanya boleh dinilai dari segi kewangan kerana kita akan kehilangan habitat ikan, biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem yang disediakan oleh terumbu karang.

“Terumbu karang pula mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih atau terbentuk bagi memberikan perkhidmatan ekosistem dan biodiversiti ini,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, kos untuk memulihkan kawasan terumbu karang yang telah rosak adalah jauh lebih tinggi berbanding kos melindungi dan memeliharanya sejak awal.

“Pencegahan sentiasa lebih baik daripada kita melakukan tindakan restorasi atau memulihkan semula habitat yang telah rosak.

“Lebih wajar kita menjaga dan memelihara habitat terumbu karang supaya tidak rosak daripada mengeluarkan sumber kewangan yang tinggi untuk memulihkannya,” ujarnya. 

Beliau berkata, restorasi karang perlu dilihat sebagai satu usaha membantu kawasan yang telah terjejas dan bukannya sebagai pengganti kepada perlindungan terumbu karang semula jadi.

“Restorasi karang bukanlah pengganti kepada perlindungan terumbu karang semula jadi.

“Keutamaan kita tetap untuk melindungi terumbu karang yang masih sihat, mengurangkan tekanan atau impak terhadap ekosistem dan menggunakan restorasi karang sebagai salah satu kaedah terakhir untuk membantu kawasan yang terjejas,” katanya. 

Dalam pada itu, Izarenah berkata, usaha pemulihan terumbu karang yang berjaya berpotensi meningkatkan penggunaan kawasan berkenaan oleh hidupan marin lain termasuk ikan terumbu dan invertebrata.

Katanya, apabila struktur habitat kembali berada dalam keadaan baik, kawasan tersebut mampu menyediakan tempat perlindungan kepada anak ikan, sekali gus menarik kehadiran spesies ikan yang lebih besar.

Keadaan itu menunjukkan manfaat restorasi terumbu karang bukan sekadar menanam semula karang, sebaliknya turut membantu menghidupkan kembali keseluruhan rangkaian ekosistem marin.

Justeru, usaha restorasi perlu dilaksanakan secara terancang, berasaskan data serta disusuli pemantauan berterusan bagi memastikan pelaburan terhadap pemulihan terumbu karang benar-benar memberikan manfaat ekologi untuk jangka panjang.


Tag :

Artikel Berkaitan