KUALA NERUS, 16 Disember – 14 pengusaha bot penambang di Seberang Takir menerima bantuan kewangan semalam sebagai tanda keprihatinan pihak kerajaan negeri terhadap golongan nelayan yang terjejas pendapatannya ketika musim tengkujuh.
Majlis penyampaian sumbangan berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak, yang menekankan kepentingan sokongan berterusan kepada pengusaha bot penambang, yang merupakan penghubung utama masyarakat setempat dalam urusan harian serta aktiviti ekonomi komuniti.
“Seperti kebiasaan di Pantai Timur, musim tengkujuh berlaku pada hujung tahun dan dijangka berlanjutan hingga awal tahun hadapan. Keadaan ini menyebabkan ketiadaan sumber kewangan bagi menampung kos harian,” jelas beliau ketika berucap di majlis tersebut.
Menurut Dr Alias, sumbangan berkenaan bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi turut menyuntik semangat para penerima untuk terus berkhidmat kepada komuniti.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan golongan nelayan khususnya semasa musim tengkujuh.
Para pengusaha bot penambang yang hadir menyatakan rasa syukur atas bantuan yang diterima.
Salah seorang daripada mereka berkata, bantuan itu sangat bermakna dan sedikit sebanyak meringankan beban terutama pada musim tengkujuh yang mencabar.
Majlis penyampaian sumbangan itu juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan komuniti nelayan, sejajar dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memelihara kebajikan rakyat.