15 Keluarga Di Pengkalan Ajal Terima Bantuan Pasca Banjir APM
Oleh : Khairuddin Yusoff
HULU TERENGGANU, 11 April - Seramai 15 keluarga dari Kampung Pengkalan Ajal, menerima bantuan Pasca Monsoon Timur Laut (MTL) 2018/2019 dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu.
Pengarah APM, Lt Kol. (PA) Che Adam A Rahman berkata bantuan ini merupakan sumbangan agensi- agensi korporat dan swasta yang prihatin dengan nasib mangsa.
Jelasnya, APM merupakan sekretariat bantuan bencana alam dan memainkan peranan untuk mengumpul barang- barang bantuan daripada korporat, organisasi, syarikat dan sebagainya.
"Hari ini kita beri bantuan di Pengkalan Ajal yang mana kampung ini terjejas banjir yang agak signifikan untuk kita beri dibantu daripada agensi- agensi badan korporat dan juga swasta.
"Jadi kita masih ada lagi sedikit simpanan dan kenalpasti kampung ataupun keluarga yang daif untuk berikan bantuan kepada mereka.Oleh itu, kita kenalpasti sebanyak 15 keluarga ataupun ketua isi rumah untuk kita sampaikan bantuan tersebut hari ini,”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian bantuan Pasca Monsoon Timur Laut (MTL) di Pusat Pemindahan Pengkalan Ajal, di sini, semalam.
Menurutnya lagi, barang bantuan yang diberi pada bukan kategori makanan yang mana tidak mempunyai tarikh luput seperti keperluan dan alatan penjagaan diri, selimut dan juga telekung.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata bantuan ini menunjukkan APM merupakan agensi yang sangat prihatin dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.
"Terima kasih kepada APM kerana menjadi satu agensi yang prihatin dengan kesusahan dan juga situasi bencana yang dialami oleh 15 penduduk di kawasan ini.
Ini menunjukkan APM sentiasa memberi sokongan bukan sahaja pada musim banjir termasuklah bantuan pada hari ini yang menunjukkan APM ini sebuah agensi yang sangat bertanggungjawab,"katanya.
Menurutnya lagi, langkah berwaspada dan persediaan awal juga akan dilakukan bagi menghadapi banjir di Kampung tersebut pada masa akan datang.
"Dari segi perancangan akan datang untuk makluman banjir ini kita tidak dapat nak elak dan mengurangkan risiko banjir agak susah kerana ia melibatkan perbelanjaan yang agak banyak jadi kemungkinan yang akan dibuat adalah untuk mengurangkkan risiko daripada jalan tersekat.
"Untuk waktu ini kita memang sedia dari segi penempatan iaitu pusat pemindahan banjir dan itu adalah antara persiapan kita untuk menampung mahupun membantu mangsa- mangsa banjir iaitu dari segi penjagaan nyawa dan juga harta benda yang penting supaya dapat diselamatkan,” jelasnya.