Berita :
 151 Asnaf Terima Sumbangan Zakat
151 Asnaf Terima Sumbangan Zakat
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
1 hari yang lepas
41

BESUT, 17 Mac – Seramai 151 penerima dalam kalangan golongan asnaf di kawasan Besut menerima sumbangan zakat daripada EPIC Berhad dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Peringkat Parlimen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata sumbangan berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela.

"Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus diberi perhatian.

“Program seperti ini diharap dapat membantu meringankan beban penerima, lebih-lebih lagi ketika kita berada di penghujung Ramadan yang penuh keberkatan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program di Dewan KOMSIK Kampung Amir, Alor Lintang, semalam.

Justeru itu, Norkhuzaini berharap agar penerima menggunakan wang zakat tersebut dengan sebaiknya untuk manfaat keluarga masing-masing.

 Dalam masa sama, beliau menasihatkan agar bantuan yang diterima tidak dibelanjakan kepada perkara yang tidak menepati syariat.

 “Jangan gunakan wang zakat untuk perkara yang tidak syarie seperti membeli rokok atau mercun bunga api,” katanya.

Norkhuzaini menambah, program ini melibatkan penerima dari keempat-empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Besut iaitu 38 penerima dari DUN Kota Putera, 38 dari DUN Jerteh, 36 dari DUN Kuala Besut dan 39 dari DUN Hulu Besut.

Sementara itu, salah seorang penerima,  Mustapha Yazid, melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas bantuan ini. Sedikit sebanyak ia membantu keperluan keluarga, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya,” katanya.

Seorang lagi penerima, Rubiah Razak, turut berkongsi rasa terharu dengan keprihatinan yang diberikan.

“Saya sangat menghargai sumbangan ini. Ia amat bermakna buat kami sekeluarga dalam membuat persiapan Hari Raya. Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin,” tambah beliau.

Program tersebut dilihat sebagai antara usaha berterusan Parlimen Besut dalam menyantuni golongan asnaf serta memastikan kebajikan masyarakat setempat terus terbela.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan