155 Buah Rumah 'Usang' Dibaik Pulih

SETIU, 7 Disember - Sebanyak 155 rumah telah disiapkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit melalui Projek Perumahan Terengganu Sejahtera.

Pegawai Penyelarasnya, Mohd Shafizi Ismail berkata, ia membabitkan sejumlah RM1.875 juta bagi membina dan membaik pulih rumah, sejak Mei 2018 hingga Oktober 2020.

“RM375,000 diterima pada 2018 dan masing-masing RM750,000 untuk tahun 2019 dan 2020 yang disediakan kerajaan negeri untuk memberikan keselesaan kepada hidup rakyat di kawasan ini khususnya golongan yang memerlukan.

“Ia bertujuan bagi membantu mereka yang tidak mampu mendirikan kediaman yang sempurna malah permohonan melibatkan bantuan baik pulih, juga menjadi keutamaan kami kerana ramai penduduk yang mengharapkan bantuan membaiki rumah mereka yang uzur,” ujarnya ketika dihubungi pemberita.

Shafizi meninjau rumah usang seorang penduduk yang dibaiki pulih.

Menurutnya, bagi memantau pelaksanaan dengan lebih berkesan, beliau telah turun ke setiap lokasi dan individu yang dipilih. 

“Rumah yang sudah siap dibaik pulih oleh kontraktor yang dilantik turut ditinjau.

“Ini bagi menentukan kos yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih rumah dan projek yang sudah diselesaikan menjadi lebih sempurna,” ujarnya.

Mohd Shafizi memaklumkan, antara lokaliti projek terbabit ialah Kampung Hilir Maras, Darat Hilir, Bukit Cempaka, Pasir Puteh dan perkampungan lain.

Katanya, keluarga yang layak untuk mendapatkan bantuan itu, dinilai secara rapi oleh Majlis Pengurusan Komuniti  Kampung (MPKK).

“Ia berjalan dengan begitu baik sekali dan rumah-rumah yang tidak sesuai untuk dibaik pulih, maka kita akan buat rumah baru asalkan mereka ada tanah.

“Memang banyak juga antara mereka yang akan dibina baru. Kita nilai dahulu mana yang harus diberi keutamaan, mana yang akan dibaik pulih atau dibina baru,” tambahnya.

 


Tag: