Jalur Gemilang
Berita :
1,940 Akaun Pengguna Terjejas Di Kemaman, Gangguan Air Bermula Malam Ini
1,940 Akaun Pengguna Terjejas Di Kemaman, Gangguan Air Bermula Malam Ini
Ridhwan Balian
10 jam yang lepas
404

KEMAMAN, 18 Oktober – Sebanyak 1,940 akaun pengguna di sekitar Bukit Mentok dan kawasan berhampiran dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 10 malam ini hingga 4 pagi, Isnin, 19 Oktober 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam menasihatkan penduduk yang terlibat supaya membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan air secukupnya bagi memenuhi keperluan harian sepanjang tempoh gangguan.

Beliau turut mengharapkan kerjasama dan kesabaran penduduk sepanjang kerja-kerja peningkatan sistem bekalan air dilaksanakan bagi memastikan urusan berkenaan berjalan lancar, katanya.

Menurut notis yang dikeluarkan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU), gangguan berkenaan berpunca daripada kerja-kerja peningkatan sistem bekalan air di daerah Kemaman.

Antara kawasan yang terlibat ialah penempatan Lorong Kampung Paya Bukit Mentok, Jalan Akasia, Jalan Alamanda, Jalan Sintan, Bandar Baharu Bukit Mentok, Kampung Tempurung serta kawasan sekitarnya.

Sehubungan itu, penduduk turut dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan pembaziran sepanjang tempoh gangguan berkenaan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada SATU Careline menerusi talian 1-300-882-111. Pengguna juga disarankan memuat turun aplikasi MySATU bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan perkhidmatan SATU.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan