1,987 Pelajar DUN Bukit Besi Antara Terawal Terima Vaksin
Oleh : Amiruddin Zamri
DUNGUN, 27 September- Seramai 1,987 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi antara yang terawal menerima suntikan vaksin bagi daerah ini melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.
Program yang menyasarkan pelajar sekolah tingkatan satu hingga lima itu diadakan di empat buah sekolah harian iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian MAS seramai 504, SMK Bukit Besi melibatkan seramai 924 pelajar, SMK Jerangau pula seramai 372, manakala SMK Kuala Jengal pula membabitkan pelajar seramai 186 orang.
Pegawai Penyelaras DUN tersebut, Ghazali Sulaiman berkata program yang dijalankan tersebut mampu memastikan para pelajar telah lengkap menerima dua dos vaksin sebelum bermula persekolahan.
"Alhamdulillah para ibu bapa memberi sambutan yang sangat baik, dan pihak guru juga telah memainkan peranan dengan baik, mereka telah bertindak sebagai petugas secara suka rela memastikan program ini berjalan lancar.
"Ia bertujuan bagi memastikan proses pembelajaran nanti akan dapat dilangsungkan dalam suasana yang baik serta selamat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke sekolah yang terbabit dengan program berkenaan, pada hari ini.
Katanya lagi, program berkenaan dilaksanakan selama dua hari bermula semalam dan berakhir pada hari ini.
"Semoga semua pelajar kita ini akan dapat menempuhi suasana pembelajaran yang baik apabila sekolah dibuka nanti serta akan dapat memberikan tumpuan terhadap pelajaran mereka tanpa mengalami sebarang masalah," ujarnya lagi.