2,000 Sertai Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Cukai

KEMAMAN, 29 September - Hampir 2,000 peserta terdiri dari 68 kontinjen hadir memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai 2024, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat mengucapkan tahniah diatas kerjasama dan semangat yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjayakan program yang telah diadakan itu.

"Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama menjayakan program ini.

"Sempena bulan Maulidur Rasul yang penuh barakah ini, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Semoga kita semua beroleh syafaat agung baginda di akhirat kelak," ujarnya ketika merasmikan program itu di Kampung Paya Berenjut, di sini hari ini.

Antara mereka yang telah memeriahkan perarakan yang diadakan pada kali ini terdiri daripada seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Tabika Perpaduan, Tabika KEMAS, Taska Yayasan Pembangunan Keluarga, Taska Permata Keluarga, ibu bapa, penduduk setempat dan lain-lain.

Semua peserta dibawa berarak sambil berselawat sejauh 2.3 kilometer bermula di Padang Kampung Paya Berenjut dan berakhir di Dataran Haji Hanafiah dengan jamuan rakyat.