KUALA TERENGGANU, 24 September - Sebanyak 20,000 peserta disasarkan menghadiri Himpunan 3 Tahun Taufan Al-Aqsa yang akan berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu pada 16 Oktober depan.
Ketua Penerangan dan Publisiti Himpunan Taufan Aqsa, Ustaz Ridhuan Abdul Karim berkata, program berkenaan memasuki tahun ketiga penganjurannya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perkembangan di Palestin selain meneruskan sokongan kepada rakyat negara berkenaan.
Menurutnya, acara ini merupakan anjuran Sahabat Sejahtera negeri Terengganu dan himpunan itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk bukan Islam atas dasar kemanusiaan.
“Program ini bertujuan memberikan pendedahan dan meningkatkan kesedaran supaya masyarakat Terengganu khususnya dan seluruh Malaysia terus memperingati apa yang berlaku di bumi Palestin.
“Kita juga mahu terus memberikan sokongan kepada masyarakat dan umat Islam di Palestin atas apa yang berlaku,” jelasnya dalam sidang media semalam.

Tambahnya, penganjur turut menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 motosikal menyertai konvoi Ride For Palestine yang akan bermula dari perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum menuju ke tapak program di Stadium Negeri.
Katanya, beberapa program iringan turut disusun termasuk perarakan bot pada 10 Oktober yang akan bermula dari Muara Sungai Terengganu menuju ke Jeti Jabatan Angkat, Kuala Terengganu, kira-kira jam 5.30 petang.
“Kumpulan berkumpul di Marang, daripada Kuala Nerus dan juga Kuala Terengganu sendiri berkumpul di muara sungai Terengganu.
“Pada 16 Oktober pula, program bermula menerusi khutbah Jumaat yang akan membawa topik berkaitan Palestin di masjid-masjid terpilih, sebelum diteruskan dengan konvoi bermotosikal pada jam 5.30 petang menuju ke Stadium Negeri.
“Program kemudiannya diteruskan dengan solat Maghrib dan Kuliah Maghrib Perdana di tapak program,” ujar beliau.

“Antara penceramah yang telah disahkan ialah Habib Hanif Alatas dari Indonesia, Bung Aladi dari Patani dan Dr. Habib Reza dari Iran, selain Tuan Guru Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
“Kita berharap kehadiran tokoh-tokoh dari pelbagai negara ini dapat memberikan pengisian dan mesej kesedaran kepada masyarakat mengenai perkembangan yang berlaku di Palestin,” katanya.
Tambahnya lagi, program tahun lalu merekodkan kehadiran lebih 10,000 peserta dan tahun ini pihak penganjur menyasarkan penyertaan antara 10,000 hingga 20,000 orang dari seluruh Malaysia.
Katanya, penyertaan juga terbuka kepada orang ramai dan pihaknya berharap golongan pempengaruh turut bersama bagi membantu menyampaikan mesej kesedaran mengenai Palestin menerusi media sosial.
“Secara umumnya kita menjemput semua lapisan masyarakat. Kita juga berharap ada penyertaan daripada influencer kerana medium yang ramai digunakan sekarang ialah media sosial.
“Kita mahu mesej kesedaran mengenai Palestin ini dapat disampaikan dengan lebih meluas kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Riduan menambah, penganjur turut menyediakan ruang penyerahan sumbangan kepada Palestin selain gerai jualan bagi memeriahkan program.
Katanya, peserta konvoi motosikal akan diberi penekanan mengenai pematuhan undang-undang trafik dan aspek keselamatan sepanjang perjalanan.
“Bagi perarakan bot pula, kita akan melihat keadaan cuaca dan sekiranya berlaku keadaan yang membahayakan, aspek keselamatan peserta akan diutamakan.
“Jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, kita akan mencari inisiatif lain dengan memberi tumpuan kepada program konvoi bermotosikal,” tambahnya lagi.
Justeru itu, beliau turut mengajak seluruh rakyat Terengganu dan masyarakat umum hadir ke himpunan berkenaan yang membawa tema ‘Satu Hati, Satu Arah, Bebaskan Palestin’.
“Kita hadir beramai-ramai dan terus memberikan sokongan kepada nasib saudara kita di Palestin dan juga di Al-Aqsa,” katanya.