KUALA TERENGGANU, 17 April - Sebanyak 222 notis kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu terhadap peniaga Bazar Ramadan setakat 14 April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, ia melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM24,800 atas pelbagai kesalahan yang menyalahi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983 (Akta 281).
Katanya, sebanyak 3,431 pemeriksaan telah dijalankan di 57 lokasi bazar Ramadan di negeri ini dan kesalahan yang paling banyak adalah tidak memakai apron/pakaian bersih dimana 113 notis telah dikeluarkan.
“Diikuti dengan kesalahan tidak menjaga kebersihan diri iaitu 49 notis, tidak mengikuti latihan pengendali makanan (35 notis), menggaji pengendali makanan tiada latihan dan suntikan anti typhoid (14 notis) serta notis lain-lain (11)," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di sini, semalam.
Menurut beliau, sebanyak 69 sampel makanan diambil yang mana 61 adalah sampel analisa mikrobiologi dan lapan lagi untuk sampel analisa kimia.
"Daripada 61 sampel analisa mikrobiologi, lapan sampel makanan tersebut mempunyai pelanggaran.
"Berdasarkan tahap penilaian kebersihan premis, sebanyak 99.5 peratus iaitu 3,416 premis mencapai tahap kebersihan melebihi 80 peratus,” ujarnya.