Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KEMAMAN, 25 Disember - Saban tahun kebiasaan akan berlaku empat gelombang banjir dalam edah menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) justeru kerajaan negeri sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi memastikan bencana itu dapat diurus dalam keadaan baik.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, walau bagaimanapun adalah diharapkan agar rakyat di negeri ini sentiasa bermunajat dan berdoa supaya tidak akan berlaku musibah banjir yang besar dan teruk.
"Semua agensi kerajaan macam biasa dalam keadaan bersiap siaga dan mana-mana barang keperluan yang kurang kita minta tambah.
"Terutama dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya menambah bekalan makanan,"ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan ke kawasan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang saban tahun menghadapi musibah banjir, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hanafiah mewakili pihak kerajaan negeri memohon maaf kerana pada hari pertama gelombang banjir berlaku sedikit masalah dari sudut penyediaan makanan kerana jumlah mangsa banjir di awal kejadian di luar jangkaan.
"Cuma berlaku pada hari pertama ia akan berlaku di mana-mana Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila menerima 2,000 orang sekali gus.
"Bagi pihak kerajaan negeri saya memohon maaf sehingga ada yang sarapan pagi pada pukul 11 pagi, bila hari kedua dan seterusnya kembali teratur dan semua yang kita jumpa berpuas hati di atas layanan yang baik.
"Alhamdulillah bagi membantu meringankan mangsa banjir, Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Banjir Negara (NADMA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri 1 telah mengumumkan bantuan RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR)," ujarnya.