Jalur Gemilang
Berita :
224 Pelajar Terima Bantuan Cermin Mata, 1,350 Lagi Menunggu
224 Pelajar Terima Bantuan Cermin Mata, 1,350 Lagi Menunggu
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
82

KUALA TERENGGANU, 24 September - Seramai 224 pelajar sekolah rendah di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu telah menerima bantuan cermin mata menerusi Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) dengan nilai keseluruhan RM24,471.

Penolong Pengurus (Pemasaran) YPM, Mohd Firdaus Mamat berkata, bantuan berkenaan disalurkan kepada pelajar daripada keluarga asnaf dan golongan memerlukan bagi memastikan masalah penglihatan tidak menjejaskan proses pembelajaran mereka.

Menurutnya, di sebalik jumlah penerima yang telah dibantu itu, masih terdapat 1,350 pelajar sekolah rendah dari seluruh Terengganu yang berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan bantuan sama.

“Bantuan ini disasarkan kepada anak-anak daripada keluarga asnaf dan golongan yang memerlukan supaya mereka dapat memperoleh keperluan penglihatan yang lebih baik sekali gus membantu proses pembelajaran.

“Namun, masih terdapat 1,350 pelajar dari seluruh daerah di Terengganu yang sedang menunggu untuk mendapatkan bantuan cermin mata,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, YPM mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat, organisasi, komuniti serta orang ramai untuk bersama-sama menjayakan Kempen Infak Cermin Mata CSR@YPM.

Jelasnya, kempen tersebut dibuka sepanjang tahun bagi memberi ruang kepada lebih ramai pihak menyumbang, sekali gus membolehkan lebih ramai pelajar menerima manfaat.

“Setiap sumbangan yang diterima akan membantu YPM menyediakan cermin mata kepada pelajar yang masih berada dalam senarai menunggu.

“Kita berharap lebih ramai pihak dapat tampil bersama-sama dalam usaha ini kerana bantuan yang diberikan bukan sekadar sebuah cermin mata, tetapi turut membantu pelajar melihat dan belajar dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, penyumbang turut layak mendapat potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Sebarang pertanyaan berkaitan Kempen Infak Cermin Mata CSR@YPM boleh dikemukakan menerusi e-mel csr@ypmaidam.my.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan