• 19 Sept 2024 | 15 Rabiul Awal 1446

23 Kontinjen Sertai Perarakan Maulidur Rasul dan Hari Malaysia DUN Rantau Abang

Oleh: Che Wan Muhammad Abdul Hanis

DUNGUN, 10 September- Seramai 352 peserta daripada 23 kontinjen menyertai acara perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang di perkarangan Masjid Balai Besar.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rantau Abang itu turut mendapat kerjasama pihak pengurusan Masjid Balai Besar.

Perarakan bermula di pekarangan dan mengelilingi kawasan taman berdekatan sebelum berakhir semula di masjid tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, dua sambutan tersebut merupakan simbol perpaduan dan kesuburan kita sebagai umat Islam dan sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air.

“Maulidur rasul bukan sekadar hari memperingati kelahiran Nabi Muhammad S.A.W tetapi juga masa untuk kita merenung dan menghayati ajaran baginda yang menjadi rahmat seluruh alam. 

“Sambutan Hari Malaysia 2024 pula adalah saat yang sangat bermakna dimana kita mengenang kembali perjuangan dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air yang telah berusaha dengan gigih untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang merdeka, aman dan makmur,” ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan, kelmarin.

Katanya, diharapkan program tersebut terus menjadi acara tahunan di DUN berkenaan yang memupuk perpaduan serta memperkukuhkan jati diri masyarakat, terutamanya dalam mencontohi akhlak mulia Rasulullah S.A.W.


 


Tag: