23 Usahawan Terima Pinjaman Tanpa Caj Tambahan

KUALA TERENGGANU, 25 Mac – Seramai 23 usahawan bertuah daripada ratusan pemohon berjaya menerima pembiayaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi siri pertama tahun ini.

Dengan jumlah keseluruhan RM478,893.20, skim ini menawarkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM50,000 bagi membantu perkembangan perniagaan usahawan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata, walaupun jumlah permohonan amat tinggi, hanya mereka yang benar-benar layak diberikan peluang buat masa ini.

"Kita ada 23 orang usahawan yang berjaya. Ramai lagi yang mohon, tapi bila kita buat analisa, masih ada kekurangan di premis mereka yang perlu dinaik taraf sebelum lulus di masa akan datang. Hari ini, saudara bertuah kerana dipilih daripada kalangan yang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kepada penerima Skim Pembiayaan TUGAS Kali ke-1/2025, di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), di sini semalam.

Beliau menjelaskan, pembiayaan ini dilaksanakan secara berperingkat sebanyak tiga hingga empat kali setahun.

"Pinjaman TUGAS ini tanpa faedah. Bayar hanya mengikut jumlah yang dipinjam. 

"Pada hari ini, skim yang terlibat adalah seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) dan Tabung Siti Khadijah (TSK). 

"Tahun ini, jumlah pinjaman maksimum yang ditawarkan telah dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM50,000, memberikan peluang lebih besar kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” tambahnya.