231 Taska Di Terengganu Mula Beroperasi Selasa Ini

KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Kerajaan Terengganu membenarkan 231 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) milik kerajaan negeri dan swasta yang berdaftar beroperasi semula berkuat kuasa Selasa depan.

Jumlah itu termasuk 67 Taska Permata Keluarga (TPK) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu yang akan dibuka mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, keputusan itu dipersetujui Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dengan mendapat rujukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya,  semua pengusaha Taska swasta dan ketua Taska TPK akan dipanggil untuk menghadiri taklimat khas bersama JKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan KKM pada hari esok.

"Manakala operasi nyah kuman di semua Taska akan dilakukan selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad ini, sebelum dibenarkan beroperasi pada Selasa ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan MMKN, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Hanafiah  memberitahu, kebanyakan SOP yang ditetapkan sudah diguna pakai di TPK sebelum ini, walau bagaimanapun ada beberapa  penambahbaikan yang ditetapkan selaras dengan SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Antaranya perlu mengambil suhu bayi,  kanak-kanak dan ibu bapa, kerap membasuh tangan, membasuh alatan permainan dan mengamal etika penjarakan sosial.

"Perkara itu diaakui agak sukar kerana melibatkan kanak-kanak, namun pihak taska perlu patuh demi nyawa bersama," katanya.

Menurutnya, sekiranya gagal tindakan untuk menutup premis taska boleh dikenakan.

"JKM akan memantau perkara itu dari masa ke semasa di setiap taska bermula Selasa ini," katanya.

Tambahnya, apa yang dimaklumkan, kira- kira 500  daripada 4,000  anak-anak TPK akan dihantar pada Selasa ini.

"Jumlah dilihat agak kecil kerana ibu bapa masih mengambil sikap berjaga-jaga," katanya.